Home

Login Form






Lost Password?
Tingkatkan Penguasaan Bahasa Inggeris, Titah Tuanku Naquiyuddin PDF Print E-mail
KUALA PILAH, 13 Okt (Bernama) -- Usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat kerana umum mengetahui penguasaan mereka dalam bahasa itu berada pada tahap yang mencemaskan dan kritikal, titah Pemangku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Naquiyuddin ibni Tuanku Ja'afar. itah baginda usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris perlu dilaksanakan secara berterusan untuk memberi impak yang hebat supaya rakyat keseluruhannya mempunyai nilai tambah yang berkualiti sebagai modal insan yang boleh bersaing di peringkat antarabangsa.

"Dalam kontek ini, inisiatif yang diambil oleh Yayasan Tuanku Ja'afar, Yayasan Tunku Ampuan Najihah dan Yayasan Tunku Naquiyuddin untuk membiayai projek peningkatan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah luar bandar atau Project to Improve English in Rural School (PIERS) harus mendapat pujian.

"Ini merupakan satu usaha atau tindakan yang praktikal untuk meningkatkan kefahaman dan juga penggunaan bahasa Inggeris di kalangan murid sekolah," titah baginda pada majlis penyampaian sijil PIERS kepada 44 orang guru yang terlibat dalam PIERS di Balai Kecil, Istana Besar Seri Menanti dekat sini.

PIERS dikendalikan oleh CfBT Education Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS) dan Kementerian Pelajaran, bertujuan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar di luar bandar.

Projek perintis itu yang bermula Januari dan berakhir bulan lepas, melibatkan 12 sekolah rendah di sekitar Seri Menanti dan Kuala Pilah.

Baginda juga melahirkan rasa gembira dan bangga apabila menerima maklum balas dan laporan yang positif berhubung kait dengan projek itu.

Sehubungan itu, baginda berharap JPNS dan juga Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang lain akan merancang dan melaksanakan projek seumpamanya di masa akan datang supaya lebih ramai murid sekolah mendapat manfaat.

"Beta juga berharap satu hari nanti semua rakyat negeri ini dapat menguasai bahasa Inggeris pada tahap yang membanggakan," titah baginda.

Sementara itu, Pengarah Asia Tenggara CfBT Education Services, Mohd Arif Bell Abdullah berkata pihaknya merancang untuk meneruskan projek itu pada tahun depan.

"Saya gembira kerana projek ini mencapai matlamatnya dan usaha akan dilakukan untuk memperluaskan lagi projek ini di sekolah rendah lain di negeri ini pada tahun depan," katanya.

Katanya program seperti itu penting untuk memastikan murid di luar bandar mampu menguasai bahasa Inggeris seiring dengan murid di bandar.
 
< Prev
Creative Commons License
This work is licenced under a Creative Commons Licence.